1. PERCAKAPAN & TINGKAH LAKU
Ini merupakan perkara
paling basic apabila kita hendak masuk ke hutan. Umpama masuk kerumah
orang kenalah dijaga tingkah laku, kalau di rumah, jika buruk
tingkahlaku, biadap tuturcara nya, mungkin dihalau oleh tuan rumah.
Bezanya di hutan, mungkin situasi tersesat, disorok bunian akan berlaku.
Apabila di hutan, kurangkan bercakap kerana takut kita berkata atau
melakukan sesuatu yang tidak betul tanpa kita sedar. Kita harus sedar
setiap langkah gerak geri kita diperhatikan, cuma kita tidak nampak.
2. TELUR & DAGING
Selalunya apabila
berkhemah di dalam hutan, dua benda ini jarang dibawa kerana pada
dasarnya ia adalah makanan makhluk bunian. Pernah terjadi sekumpulan
pendaki yang mendaki membawa sepapan telur untuk digoreng apabila tiba
di atas puncak. Pabila malam untuk sesi makan malam, mereka terkejut
kerana semua telur yang masih elok, apabila dipecahkan didapati isinya
kosong. Kata orang asli, ia umpama "cukai" yang dikenakan.
Daging pula merupakan
penarik untuk haiwan-haiwan datang kerana baunya yang kuat, lagi-lagi
apabila dipanggang. Kalau hendak dibawa juga tiada masalah tetapi
risikonya ditanggung sendiri.
3. RUMPUT MATI & KAWASAN LAPANG
Apabila melalui sesuatu
kawasan, haruslah kita peka dengan keadaan sekeliling. Jika kita melalui
sesuatu kawasan yang menghijau rumputnya tetapi terdapat sekelompok
kawasan yang rumputnya sudah mati, elakkan melalui kawasan tersebut.
Kebiasaannya, kawasan tersebut merupakan tempat untuk orang asli
membuang bisa. Bisa hutan ini bermacam, tidak kira yang nampak atau
tidak nampak.
Jika kita melalui
kawasan lapang pula yang seakan dibersihkan, jangan melalui kawasan
tersebut ataupun mengotorkan tempat itu. Nanti ada pula yang disumpit
atau parang terbang. Kebiasaannya ia adalah tempat orang asli untuk
bercucuk tanam. Cara yang terbaik adalah cuba cari jalan lain atapun
lalu di tepi tempat tersebut.
4. AKAR BERJUNTAI
Orang tua selalu
berpesan, "Jangan digayut akar berjuntai, nanti ada teman
mengintai".Nampak menarik bila kita ternampak akar pokok yang berjuntai
seperti dalam filem Tarzan tu. Tetapi harus diingat, kebiasaannya ia
adalah tempat orang bunian untuk bergayut / berbuai. Salah satu tempat
bermain dan bergayut bagi orang bunian adalah akar yang berjuntai. Apa
jadi apabila tempat permainan kita diganggu orang luar?. Pasti akan
timbul rasa tidak puas hati. Sama juga orang bunian, peluang anda untuk
disorok adalah tinggi.
5. MEMAKAI WANGIAN
Ingatlah, hutan bukanlah tempat untuk kita membeli belah atau bergaya.
Hutan adalah tempat dimana penghuninya mempunyai seribu ragam. Setakat
deodorant untuk mengelakkan ketiak masam mungkin tidak menjadi masalah.
Andai disembur wangian mahal yang di beli di Pavilion mungkin
mendatangkan bermacam masalah.
Ada haiwan yang alah pada wangian, ada juga yang tertarik pada wangian.
Deria bau yang ada pada haiwan sangatlah hebat. Bukan seperti manusia,
hanya mampu mengesan bau beberapa meter sahaja. Kebanyakan haiwan mampu
mengesan bau berkilometer jauhnya. Andai wangian tersebut menarik haiwan
yang tidak berbahaya, anda bernasib baik. Andai pak belang ataupun babi
hutan yang timbul, lari tidak jejak tanah nanti.
6. TAPAK KAKI RUSA
Harus diingat, pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada
rusa, dibelakangnya harimau mengikut. Apabila ternampak kaki rusa atau
kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta
kancil. Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang. Silap-silap
rusa ditinggalkan, anda yang dia tunggu.
7. PANGGILAN NAMA
Sepanjang berada di dalam hutan, kurangkan menyebut nama haiwan secara
terus. Contohnya harimau, boleh dipanggil Maybank. Seperti ketika zaman
sekolah, ada panggilan tertentu kepada rakan-rakan yang hendak dikutuk
tanpa dia tahu. Sama juga apabila berada di dalam hutan.
Jika berjalan secara berkumpulan, jangan suka menjerit ataupun memanggil
nama kawan. Takut-takut ada benda lain yang menyahut. Benda ini banyak
kali terjadi pada pendaki ataupun kaki pancing.
8. BERKHEMAH
Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum kita mendirikan khemah
untuk bermalam. Jika berkhemah di kawasan aliran sungai / air terjun,
jangan dirikan khemah terlalu hampir di kawasan tersebut. Lebih molek
andai jauh sedikit dari kawasan tersebut dan kawasan perkhemahan agak
tinggi kerana apabila hujan, kawasan yang rendah akan ditenggelami air
apabila datangnya KEPALA AIR. Jika ada batu besar berhampiran aliran
air, tandakan batu tersebut sebagai penunjuk paras air.
Elakkan berkhemah di bawah pohon buluh. Rimbunan buluh dan daun yang
sudah mati kebiasaannya dihuni oleh makhluk berbisa seperti ular. Andai
tiada tempat, bersihkan dulu kawasan tersebut dan pastikan kawasan
sekeliling ditabur dengan belerang untuk tujuan keselamatan. Pohon buluh
juga amat sinonim dengan makhluk khalus yang menjadikan pohon tersebut
sebagai tempat tinggal.
Tidak digalakkan berkhemah di bawah pokok yang mempunyai ranting yang
reput kerana kemungkinan khemah anda akan dihempap dahan patah terutama
ketika musim hujan. Periksa dahulu pokok yang ingin dijadikan kawasan
teduhan sebelum dijadikan tempat tidur.
9. MAKANAN
Setelah penat mendaki, pasti anda lapar. Apabila memasak, pastikan
kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan
yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan. Kebanyakan
haiwan amat peka pada bau makanan. Umpamanya, apabila terbiasa dengan
nasi bujang tetapi tiba-tiba disajikan dengan nasi beriani line clear
penang, nafsu makan anda pasti mencanak tinggi. Sama juga bagi haiwan
seperti beruang, harimau dan lain-lain. Jangan terkejut ketika tidur,
khemah anda diselongkar beruang ataupun gajah.
10. UNGGUN API
Kebanyakan orang melihat unggun api digunakan untuk memasak, memanaskan
air dan sebagai pencahayaan. Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi
untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga
terbitnya fajar. Andai terdapat ahli kumpulan seramai 5 orang,pastikan
terdapat lima batang kayu yang berbara. Ia boleh dijadikan sebagai
senjata andai pak belang, beruang atau gajah datang melawat, melainkan
anda merupakan seorang komando ataupun orang asli.
11. BUNYI BISING
Kadangkala ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi
yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal. Yang
tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga
dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga. Menurut orang asli,
apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat
haiwan yang besar sedang memerhatikan kita. Andai ada bahan letupan
seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat
menghalang haiwan liar daripada mendekati kita. Tetapi janganlah
membakar mercun seperti sambutan hari raya, kelak akan dimaki
rakan-rakan.
12. SULUH TIDAK TENTU ARAH
Apabila malam, jangan suka menyuluh di kawasan yang tidak penting. Takut
tersuluh "secret admire" bermata merah pula nanti. Petua juga
mengatakan kurangkan menyuluh muka rakan-rakan terutama ketika tidur.
No comments:
Post a Comment